Simpton Asma Di Kalangan Kanak-Kanak

Assalamualaikum WBT Salam Sejahtera. Sebelum ini, ibu pernah bercerita mengenai Mifzal ada simptom kena asma dalam entri  Hati Seorang Ibu Yang Risau. Selepas makan ubat dan antibiotik yg diberikan oleh doktor, kesihatan semakin baik. Alhamdulillah.

Bukan Gambar Terkini

Namun setelah 2 minggu kesihatan Mifzal okay, Mifzal kena selesema semula kerana cuaca sekarang yang kerap hujan. Semalam, Mifzal tidur dengan nafas yang berbunyi, risau sungguh hati ibu. Tak kan nak kena asma lagi.

Pagi tadi ibu ke klinik untuk ambil ubat, kerana stok ubat selesema, batuk dan asma dah abis. Ibu ada google juga cari info mengenai serangan asma di kalangan kanak-kanak dan jumpa artikel mengenai batuk dan asma. Jadi, ibu kongsikan di sini untuk manfaat bersama.

Tanda-Tanda Mengidap Asma

Batuk Pagi, Malam Tanda Asma

Batuk antara penyakit yang sering di pandang ringan. Ada yang menganggap ia kurang berbahaya termasuk yang dialami di kalangan kanak-kanak.Tetapi ibu bapa perlu sedar, ia mungkin merupakan petanda awal asma atau lelah terutama apabila anak-anak sering batuk pada waktu malam.Biasanya penyakit asma di kalangan kanak-kanak bermula dengan batuk berpanjangan di waktu malam dan awal pagi.

Pakar Kanak-kanak, Hospital Perubatan Pantai, Dr. Amir Mohd. Nor memberitahu, asma sememangnya biasa berlaku pada kanak-kanak yang mana ia akan hilang apabila mereka meningkat dewasa.

”Dalam keadaan ini, mereka selalunya berkahak yang boleh menyebabkan batuk dan muntah. Sesetengah kanak-kanak juga mudah berhingus atau hidung berair pada waktu malam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Secara umumnya menurut Dr. Amir, asma berlaku apabila salur pada paru-paru sempit atau tersumbat.

”Di sini, udara yang beroksigen akan menyerap ke salur darah dan menyebabkan kandungan oksigen dalam darah tinggi.

“Apa yang dimaksudkan dengan asma ialah keadaan di mana salur paru-paru kecil (bronchiol) menjadi radang sekali gus menyebabkan salur paru-paru tersebut sempit,” terangnya lagi.

Secara klasiknya, asma menyebabkan kanak-kanak akan mengalami batuk berterusan, nafas berbunyi dan semput. Biasanya batuk yang dialami kanak-kanak itu adalah basah dan berkahak.Bagaimanapun, terdapat sebahagian daripada kanak-kanak yang tidak mempunyai tanda-tanda klasik tersebut.

”Ini akan menyukarkan diagnosis dan kebanyakan kanak-kanak ini akan mengalami batuk berterusan yang tidak baik walaupun sudah makan pelbagai jenis ubat. Sekira ada juga simptom alahan seperti ruam, resdung atau selesema awal pagi, ia lebih meninggikan lagi kemungkinan asma atau lelah. Kanak-kanak yang mempunyai masalah asma senang mengalami jangkitan kuman pada paru-parunya,” terangnya.

Disebabkan asma selalu dicetuskan selepas demam selesema biasa, ini menyebabkan kadar kemasukan hospital lebih tinggi di kalangan kanak-kanak menghidap penyakit tersebut. Bagaimanapun, terdapat faktor lain yang boleh mencetuskan simptom lelah seperti habuk atau hama habuk, asap rokok, buah-buahan dan sebagainya. Tegasnya, walaupun perkara yang menyebabkan asma itu berbeza dari seorang ke seorang tetapi secara umumnya apa yang dinyatakan di atas ialah punca utama. Ditanya mengenai rawatan asma, Dr. Amir Mohd. Nor berkata, tiada rawatan khusus bagi menyembuhkan asma.

”Ubat yang dimakan kanak-kanak menghidap asma hanya untuk mengawal simptom itu tetapi tidak menyembuhkan seseorang itu daripada masalah asma,” katanya. Malah kebanyakan kanak-kanak yang menghidap asma ini akan pulih dengan sendiri apabila mereka besar atau mencapai peringkat remaja.

”Ada dua kategori ubat ketika memberi rawatan kepada kanak-kanak menghidap asma iaitu ubat-ubatan yang mencegah kanak-kanak daripada serangan asma dan ubat-ubatan yang mengurangkan simptom asma ,” akuinya.

Bagaimanapun Dr. Amir menegaskan apabila kanak-kanak sering mendapat simptom asma, mereka perlu mengambil ubat yang boleh mencegah simptom daripada berulang.

”Ubat ini memerlukan pengambilan setiap hari oleh itu ramai ibu bapa berasa takut kononnya kanak-kanak itu terpaksa bergantung kepada ubat. Ini tidak benar, bagaimanapun mendapat rawatan secara berterusan mampu memberikan kesihatan yang baik kepada anak-anak ini,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

BACA INI : Deman & Selesema

Ibu bapa mana yang tak risau kalau anak-anak kena bergantung pada ubat. Namun untuk kesihatan anak-anak, ibu-bapa perlu berkorban dan peka dengan masalah kesihatan anak.

Apa Itu Penyakit Asma?

Asma merupakan penyakit alahan yang mengganggu saluran udara (bronkus). Semasa berlaku tindak balas alahan, bronkus menjadi sempit dan dipenuhi lendir. Ini menyebabkan kesesakan nafas. Serangan asma boleh menakutkan anak kerana perasaan lemas akan menyebabkan anak berasa panik dan ini membuat pernafasannya semakin sukar. Punca awal yang menyebabkan alahan, iaitu alergen seperti debunga atau habuk rumah, yang biasanya dibawa oleh angin. Bagi anak yang menghidap asma, tekanan emosi dan senaman boleh menyebabkan serangan.

Asma biasanya menyerang kanak-kanak yang berumur dua tahun ke atas. Keadaan ini biasanya masalah keturunan dan di susuli penyakit alahan lain seperti ekzema. Namun, kebanyakan kanak-kanak akan pulih semakin umur mereka meningkat.

Kebanyakan bayi yang berumur kurang satu tahun mempunyai bunyi nafas yang berdehit jika mereka menghidap bronkitis. Ini berlaku apabila saluran udaranya yang kecil menjadi radang. Bayi-bayi ini tidak semestinya menghidap asma. Apabila umur bayi meningkat dan saluran udara mereka semakin besar, bunyi ini akan berhenti. Keadaan ini biasanya disebabkan jangkitan dan bukan alahan.

Adakah keadaan ini serius?

Serangan asma mungkin menakutkan tetapi jika diberi ubat dan nasihat doktor diikuti, anak anda tidak akan menghadapi sebarang kerumitan.

Tanda-tanda

  • Sesak nafas. Menghembus nafas menjadi semakin sukar dan abdomen mungkin dikempiskan semasa anak bernafas.
  • Rasa lemas.
  • Bunyi nafas yang berdehit.
  • Batuk yang berterusan.
  • Bibir kelihatan biru (sianosis) disebabkan kekurangan oksigen.
  • Apakah tindakan pertama?

Bawa anak berjumpa doktor dengan segera jika anda mengalami serangan asma. Jika serangan ini berlaku semasa anak tidur, dudukkan anak dan sokong belakangnya dengan bantal. Anda juga boleh mendudukkan anak anda di atas kerusi dan lengannya diletakkan pada belakang kerusi supaya beban pada dadanya diringankan. Ini membolehkan otot dada mengeluarkan udara dengan lebih cekap.

Bertenang. Keresahan hanya akan membuat anak anda lebih takut. Semasa menunggu doktor, cuba alihkan perhatian anak kepada benda lain. Misalnya, menyanyikan lagu untuk membantu anak melupakan keadaan nafasnya yang berdehit.

Perlukah saya berjumpa doktor?

Bawa anak berjumpa doktor sebaik sahaja anak mengalami serangan asma.

Apakah tindakan doktor?

Doktor mungkin mengesyorkan penggunaan bronkodilator untuk membuka bronkus dengan mengendurkan otot. Dadah ini disedut terus kedaalm bronkus. Serangan yang teruk mungkin akan memerlukan rawatan hospital dan dos yang lebih tinggi diberikan secara sedutan atau titisan intravena.

Jika terdapat tanda-tanda jangkitan dada, antibiotik mungkin disyorkan. Doktor akan menerangkan cara menghalang serangan akan datang. Doktor mungkin menentukan alergennya, sama ada melalui ujian bagi alergen tertentu seperti debunga dan habuk rumah. Doktor akan memberi bekalan kecil dadah bronkodilator, sama ada dalam bentuk cecair atau kapsul untuk dimasukkan ke dalam penyedut. Ini harus diambil sebaik sahaja serangan bermula. Doktor akan menasihatkan anda supaya memberitahunya jika anak anda mengalami serangan yang teruk atau sekiranya serangan tidak reda walaupun anak anda diberi dua dos bronkodilator.

Doktor mungkin akan mengesyorkan dadah steroid jika langkah lain tidak dapat menghalang serangan berikutnya. Dos steroid yang rendah mungkin perlu disedut tiga atau empat kali sehari atau jika tindakan ini tidak berkesan, dos yang lebih tinggi diberi dalam bentuk pil.

Bagaimanakah saya boleh membantu?

Jika doktor gagal menentukan alergen, cuba tentukannya sendiri. Catatkan bila serangan ini berlaku dan waktunya. Pastikan rumah anda bebas dari alergen yang biasa seperti kekabu. Gunakan pembersih vakum untuk memvakum habuk di rumah. Kebanyakan pesakit asma alah terhadap haiwan. Jika anda membela haiwan kesayangan, minta bantuan rakan untuk menjaganya selama beberapa minggu untuk menentukan sama ada kekerapan serangan asma anak anda berkurangan. Pastikan anak membawa ubat pada setiap masa. Maklumkan kepada pihak berkuasa sekolah tentang kemungkinan serangan ini akan berlaku.

Rujuk kepada pakar fisioterapi supaya anak anda boleh mempelajari cara bernafas untuk membantunya menenangkan diri semasa berlaku serangan. Galakkan anak duduk atau berdiri tegak supaya paru-parunya mempunyai lebih ruang. Jangan biarkan anak menjadi terlalu gemuk kerana ini akan membebankan paru-parunya.

Senaman ringan dapat membantu pernafasan anak tetapi latihan yang berat boleh membawa kepada serangan asma. Berenang merupakan latihan jasmani yang sangat baik. Anak juga disyorkan memakai lencana “Medic Alert”.

Sumber : http://www.sabah.org.my

Doakan kesihatan Mifzal semakin okay ya. Terima kasih.

 3,348 jumlah dibaca,  2 dibaca hari ini

Jom Kongsi!
About Ibu Mifzal 1507 Articles
Seorang isteri, ibu berkerjaya & blogger separuh masa. Graduan UUM. Blogging sebagai hobi dan amat meminati k-drama dan Modern Talking.

9 Comments

  1. risau kalau anak-anak semput ni…sebabnya saya juga penghidap asma di zaman kanak-kanak, faham benar betapa terseksanya..nak main dengan kawan-kawan pun terbatas..huhuhu

1 Trackback / Pingback

  1. Senaman Terbaik Untuk Penyakit Asma – Blog Ibu Mifzal

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*