Trigger Finger : Punca, Gejala dan Cara Merawat

Fuhh!! Kebelakangan ini, memang ibu tak jumpa mood untuk menulis dan berkongsi cerita. Sibuk dengan kehidupan peribadi. Tapi sayang juga jikalau dibiarkan blog ini bersawang. Tak mengapalah, dalam kesibukan dan mood yang tiada, ibu perlu juga untuk aktifkan kembali blog ini. Jadi entri kali ini, ibu ingin berkongsi cerita mengenai penyakit Trigger Finger. Mencari punca, gejala dan juga cara merawatnya. Untuk makluman, ibu sedang mengalami trigger finger ini. Bermula dengan ibu jari kanan, kini dah merebak ke ibu jari kiri pula. Tapi simptomnya sedikit berbeza.

trigger finger
Jari tangan tersangkut dan susah untuk diluruskan

Ibu kurang pasti sama apa ibu jari kiri turut mengalami jari tangan lekat dan tersangkut (trigger finger). Kisahnya bermula pada bulan Ogos tahun lepas, di mana keadaan ibu jari ibu tiba-tiba terasa seperti susah untuk dibengkokkan. Ketika itu masih boleh dibengkokkan dengan sendiri namun setiap kali ibu cuba bengkokkan akan ada bunyi seperti “tak..tak”. Ibu sudah mendapat nasihat daripada doktor di klinik swasta berhampiran kediaman ibu yang ibu jari kanan ini kemungkinan mengalami trigger finger. Penerangan doktor agak ringkas, Jadi ibu, cuba mencari info di internet untuk memahami lebih lanjut tentang penyakit ini. Ibu perasan sebenarnya agak ramai yang mengalami masalah yang sama dengan ibu. Namun, mereka mengatakan penyakit tersebut sembuh tanpa apa-apa rawatan. Tetapi, keadaan jari ibu masih sama walaupun sudah berbulan berlalu. Agaknya, tak boleh dibiarkan dah kot. Kena berubat dengan yang pakar.

Apa itu Jari Tangan Lekat & Tersangkut (Trigger Finger)

Trigger Finger atau boleh diterjemahkan dengan panggilan jari tangan yang lekat dan tersangkut adalah merupakan keadaan di mana jari tangan apabila dibengkokkan sama ada  secara semula jadi atau paksaan akan lekat, terkunci dan tersangkut. Ia mengundang kesakitan apabila cuba diluruskan dan bunyi pop. Penyakit ini merupakan penyakit jari yang am terjadi. Dari segi perubatan, keadaan ini juga dikenali sebagai ‘stenosing tenosynovitis’. Jari yang kerapkali terlibat dengan keadaan ini adalah jari manis dan ibu jari. Walau bagaimanapun, ia juga boleh berlaku pada mana-mana jari yang lain. Keadaan ini berlaku disebabkan terdapat pembentukan nodul pada tendon fleksor menyebabkan ia tersangkut pada A1 Pulley dan akan menyukarkan jari untuk diluruskan.

Punca, Gejala Dan Cara Merawat Trigger Finger

Punca

Penyakit jari ini berpunca daripada aktiviti pergerakkan jari tangan seperti memicit dan mengenggam secara berulang kali, kecederaan pada jari dan juga berlaku tekanan dan pereputan pada tulang. Penyakit degeneratif tulang (tangan dominan) juga boleh menyebabkan keadaan ini berlaku.

Gejala

Antara gelaja yang biasa adalah pangkal jari atau ibu jari sangkut dalam kedudukan bengkok dan apabila cuba meluruskan jari tersebut akan mengeluarkan berbunyi “pop”. Selain itu berlaku kekejangan jari ataupun ibu jari terutama nya pada waktu pagi. Pangkal jari atau ibu jari yang terjejas mempunyai satu nodul atau pertumbuhan kecil atau ketulan tisu.

Trigger Finger
Radang

Rawatan

Terdapat empat tahap kesakitan trigger fingger iaitu:

Tahap 1: Sakit pada bahagian pangkal jari tetapi jari tidak tersangkut
Tahap 2: Jari tersangkut namun boleh diluruskan tanpa bantuan.
Tahap 3: Jari tersangkut dan perlukan tangan sebelah untuk meluruskan.
Tahap 4: Jari tersangkut dan tidak dapat diluruskan.

Untuk Tahap 1 dan 2, rawatan boleh didapati dengan ubat anti-radang dan tahan sakit serta fisioterapi, regangan tendon, urutan pada tendon sheath, terapi lilin dan ultrasound.

Manakala untuk Tahap 3 dan 4, suntikan steroid pada pangkal jari untuk mengurangkan keradangan tendon dan pulley serta pembedahan kecil, yang mana pesakit akan dibius, kemudian kulit dibuka sepanjang 1cm, ligamen A1 pulley dipotong dan akhir sekali kulit dijahit semula.

Untuk kes ibu ini, ibu jari sudah masuk tahap ke 3. Ibu sudah pun berjumpa dengan doktor dan kini dirujuk ke Klinik Pakar Orthopedic di hospital berdekatan dengan kediaman ibu untuk rawatan seterusnya. Ngeri pula bila baca rawatan untuk tahap 3 dan 4. Apa pun, ibu harap kesihatan ibu bertambah baik selepas menerima rawatan nanti.

 2,223 jumlah dibaca,  1 dibaca hari ini

Jom Kongsi!
About Ibu Mifzal 1507 Articles
Seorang isteri, ibu berkerjaya & blogger separuh masa. Graduan UUM. Blogging sebagai hobi dan amat meminati k-drama dan Modern Talking.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*