Gigi Mifzal Dan Proses Pertumbuhan Gigi Bayi

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera.

Setakat ini, belum ada peluang untuk ambil gambar gigi mifzal yang dah tumbuh 6 batang. Kan, Mifzal sekarang ini sudah susah untuk diambil gambarnya. Gambar ini pun secara kebetulan sahaja dapat ambil. Itu pun 2 batang gigi bawah sahaja yang nampak. 4 batang gigi atas tak nampak. Hehe. Ibu nak kongsikan artikel mengenai proses pertumbuhan gigi bayi.

pertumbuhan gigi bayi
Gigi susu Mifzal.

Proses Pertumbuhan Gigi Bayi

Proses pertumbuhan gigi adalah proses yang panjang bagi bayi anda. Hakikatnya, bayi mengambil masa tiga tahun untuk mencukupkan kesemua gigi susunya. Kebanyakan bayi tumbuh gigi pertamanya sekitar usia mereka enam bulan. Namun bayi kebiasaanya sudah keluar puncak putih, biasanya gigi kacip bawah, sekitar di antara bulan ketiga dan setahun. Gigi yang terakhir iaitu gigi geraham kedua, terdapat di bahagian atas dan bawah, di belakang rahang, biasanya sudah tumbuh menjelang tahun kedua. Jadi, menjelang usianya dua tahun, anak sepatutnya sudah memiliki set lengkap 20 batang gigi susu.

Adakah Tumbuh Gigi Menyakitkan Bagi Bayi?

Untuk kebanyakkan bayi dan ibu bapa, ketibaan gigi pertama tidak menyeronokkan, dan ia boleh menjadi proses yang panjang. Simptom awalnya termasuk air liur meleleh yang berlebihan dan kesakitan yang agak teruk. Ini selalunya bermula selama sebulan atau dua bulan sebelum kemunculan gigi tersebut.

Ibu bapa juga mungkin terpaksa berjaga malam untuk menenangkan seorang bayi yang sedang menunggu giginya menembusi gusi. Untuk mengurangkan kesengsaraannya, bayi anda akan mula menggigit, tetapi bukan kerana marah atau bersikap ganas. Berikanlah sesuatu untuk digigitnya atau gosok gusinya dengan jari anda untuk membantunya mengurangkan kesakitan.

Gusi boleh menjadi bengkak apabila gigi hendak muncul dan ini akan menyebabkan pipi anak kelihatan lebih besar.

Walaupun sesetengah ibu bapa mendakwa bahawa anak mereka akan demam atau cirit-birit semasa gigi hendak muncul, kebanyakan pakar setuju bahawa pertumbuhan gigi tidak mengakibatkan penyakit. Barangkali anak anda sedang menghidap demam selesema, flu atau ada masalah sakit perut, jadi bawalah dia berjumpa dengan doktor.

Untuk mereka yang bernasib baik, pertumbuhan gigi adalah proses pengubahsuaian mulut yang tidak menyakitkan. Satu minggu bayi anda tersengih tanpa gigi, dan minggu yang satu lagi ternampak puncak putih bergerigi pada permukaan gusinya. Raikanlah gigi pertamanya dengan menangkap banyak gambar, dan catatkan tarikh ketibaannya di dalam buku bayi anda. Gigi akan tumbuh dengan berturut-turut, mula-mula yang di depan sebelah bawah, kemudian yang di tengah sebelah atas, diikuti yang di tepi dan belakang. Pertumbuhan gigi adalah mengikut keturunan, jadi jika anda mendapat gigi anda awal, barangkali anak anda akan sama juga.

Apa Yang Perlu Dilakukan Oleh Ibu Bapa?

Ibu bapa tidak dapat lakukan apa-apa untuk membuat gigi muncul, tetapi anda boleh menolong mengurangkan kesakitannya bila proses itu bermula.

  1. Beri anak sesuatu untuk dikunyah, seperti gegelang gigit yang disimpan dalam peti sejuk. Dia juga boleh mendapatkan sedikit kelegaan dari memakan makanan sejuk, seperti puri epal atau yogurt, terus dari peti sejuk.
  2. Jika bayi benar-benar dalam kesakitan, boleh berikan paracetamol kanak-kanak dalam dos yang ditetapkan. Jika bayi demam, atau tidak dapat ditenangkan, sila jumpa doktor – dia mungkin menghidap jangkitan telinga atau penyakit lain.

Apabila giginya sudah tumbuh, terpulanglah pada ibu bapa untuk memastikan kebersihannya. Untuk tahun yang pertama, ibu bapa tidak perlu betul-betul memberus giginya, tetapi cubalah bersihkannya sekurang-kurangnya sekali sehari, mungkin sebagai sebahagian daripada rutin waktu tidurnya. Bayi mungkin tidak suka berus dimasukkan ke dalam mulutnya, sebaliknya lapkan gusi dan giginya dengan mengunakan kain bersih sahaja.

Ibu bapa juga tidak harus menidurkan bayi mereka dengan botol susu. Susu tepung dan susu badan boleh mengumpul di dalam mulut bayi anda waktu tidur dan mengakibatkan penyakit yang dikenali sebagai kerosakan gigi botol bayi.

Semak dengan doktor atau doktor gigi sama ada anda perlu memberikan anak anda fluorida (titis pembasmi kaviti ini hanya diperlukan jika tinggal di kawasan yang sumber airnya tidak ditambahkan fluorida).

Pada sekitar usia 18 bulan, bayi mungkin sudah bersedia untuk belajar memberus giginya sendiri. Ibu bapa harus menolong dan memeriksa sama ada anak mereka telah memberus dengan berkesan untuk beberapa tahun lagi, tetapi ini adalah kebiasaan yang baik untuk dimulakan. Tunjukkan cara untuk menggerakkan berus pada giginya. Gunakan berus yang lembut dan setitik sahaja ubat gigi. Ibu bapa tidak perlu memberus mengikut sesuatu arah yang tertentu, hanya perlu keluarkan cebisan makanan dan bersihkan permukaan gigi dan gusi.

Jika anak tidak suka pada rasa ubat gigi, cubalah jenama yang lain, ataupun lupakannya sama sekali. Ubat gigi tidak diperlukan kecuali jika diet anak  mengandungi banyak makanan bergula – yang seharusnya elakkan juga. Jika anak ada menikmati gula-gula, misalnya semasa di majlis hari jadi, pastikan dia memberus giginya sejurus selepas makan, atau galakan dia mengakhiri hidangannya dengan makanan masin seperti sekeping keju. Sekitar hari jadinya yang ketiga, buat temu janji dengan doktor gigi supaya anak anda dapat membiasakan diri dengan proses pemeriksaan gigi.

Jika Bayi Lambat Tumbuh Gigi?

Bayi pramatang mungkin akan mendapat gigi mereka lewat beberapa bulan. Jika masih tidak nampak sebarang tanda kemunculan gigi pada penghujung tahun pertamanya, bangkitkan perkara ini semasa pemeriksaan doktor yang akan datang.

Sumber : https://www.babycenter.com.my

 822 jumlah dibaca,  1 dibaca hari ini

Jom Kongsi!
About Ibu Mifzal 1507 Articles
Seorang isteri, ibu berkerjaya & blogger separuh masa. Graduan UUM. Blogging sebagai hobi dan amat meminati k-drama dan Modern Talking.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*