Throwback : Kisah Mengundi PRU 14

Kisah mengundi PRU 14 atau Pilihan Raya Umum 2018 dah 3 bulan lebih berlalu, tapi ibu baru berkesempatan untuk berkongsi cerita di blog kesayangan ibu untuk tatapan kawan-kawan pembaca. Kita telah pun menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah, negara Malaysia yang tercinta mengalami perubahan besar pucuk pimpinan pentadbiran negara.

Kisah mengundi PRU
Pilihan Raya Umum Ke-14

Keputusan pilihanraya kali ini berpihak kepada Pakatan Harapan yang menggunakan logo PKR dan dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Melayu Bersatu (PPBM) yang memenangi kerusi parlimen dengan majoriti mudah dan berjaya membentuk kerajaan baru. Buat pertama kali juga, sejarah tercipta apabila Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia buat kali kedua. Pelbagai kejutan berlaku. Pilihanraya umum kali ini sememangnya menarik.

BACA INI : Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 : Tak Sabar Nak Mengundi 😀

9 Mei 2018 : Malaysia Memilih

Kisah mengundi PRU 1
Barisan Mengundi Saluran 1 Beratur

Pilihanraya Umum ke-14, ibu juga rasa sangat teruja mengenangkan ini adalah kali kedua ibu mengundi. Hari mengundi pula telah diumumkan sebagai cuti umum seluruh Malaysia untuk memudahkan rakyat pelbagai lapisan keluar mengundi. Kali ini, ibu tidak mengundi di kampung halaman sebaliknya mengundi di sekolah berhampiran tempat tinggal ibu. Ibu dah lama bermastautin di Perak. Mengenangkan waktu pilihan raya pasti cuti agak terhad dan agak menyukarkan ibu untuk pulang ke kampung yang jaraknya lebih 400 kilometer, ibu telah mengambil keputusan untuk menukar pusat pengundian yang berdekatan. Tahun 2016 lagi dah ibu selesaikan urusan pertukaran dan daftar pengundian mengesahkan permohonan ibu. Terasa janggal juga mengundi di tempat baru yang bukan kampung halaman, hehe.

Kisah mengundi PRU 2
Saluran Mengundi : 4

Kisah Mengundi PRU Ke-14

Pada hari mengundi, ibu keluar agak awal dalam jam 8.00 pagi. Terkejut juga, walaupun masih awal tetapi orang ramai sudah ramai yang beratur di saluran masing-masing. Ibu di saluran 4 saluran umur pertengahan 😀 terpaksa beratur lebih sejam untuk menunaikan tanggungjawab pada negara. Kesian pula ibu lihat makcik dan pakcik yang beratur di saluran 1, penat mereka terpaksa menunggu lama.

Kisah mengundi PRU 4
Macam Pakai Inai

Selesai mengundi, debaran terasa dan menanti-nanti keputusan. Ibu ikut sama berjaga malam untuk menunggu keputusan pilihanraya kali ini. Kebiasaan, keputusan dapat diketahui lebih awal, tetapi mengundi kali ini, jam 3.00 pagi pun belum tahu keputusan penuh lagi. Banyak kali kiraan semula mungkin. Keputusan di kawasan ibu mengundi bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undang Negeri (DUN) memihak kepada Barisan Nasional walaupun keputusan keseluruhan PRU 14 memihak kepada Pakatan Harapan.

Tahniah, ibu ucapkan kepada rakyat Malaysia kerana berani membawa perubahan. Walaupun, perubahan yang besar berlaku di dalam kancah politik negara, namun peralihan kuasa dapat berjalan dengan lancar. Kerajaan Pakatan Harapan menggalas tugas yang amat besar dalam memenuhi kehendak rakyat untuk penggal kali ini. Semoga Malaysia terus memacu kejayaan di mata dunia dan ibu juga berdoa agar kemakmuran serta kesejahteraan negara sentiasa terpelihara. Selamat datang Malaysia Baharu dan Sayangi Malaysiaku.

 1,963 jumlah dibaca,  1 dibaca hari ini

Jom Kongsi!
About Ibu Mifzal 1507 Articles
Seorang isteri, ibu berkerjaya & blogger separuh masa. Graduan UUM. Blogging sebagai hobi dan amat meminati k-drama dan Modern Talking.

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*