Lagi Kes Bayi Mati Akibat Tersedak Susu Di Pusat Asuhan

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

KUALA LUMPUR: Dua bayi lelaki dari sebuah pusat asuhan maut dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaan pengasuh mereka di Taman Pertama, Ampang dekat sini, tengah hari semalam.

Kejadian jam 1 tengah hari itu dikatakan berlaku tidak lama selepas kedua-dua bayi malang itu, Muzaffar Mohd Faizal, tiga bulan, dan seorang lagi hanya dikenali sebagai Harris, tujuh bulan, diberikan susu di pusat asuhan berkenaan.

Bagaimanapun, kedua-duanya meninggal dunia tidak lama selepas dikejarkan petugas pusat asuhan terbabit ke sebuah poliklinik di Taman Permata sebelum mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Bapa Muzaffar, Mohd Faizal Jaafar, 32, berkata ketika kejadian beliau berada di Kedah kerana urusan kerja sebelum bergegas pulang ke ibu negara selepas dihubungi isterinya pada jam 2.45 petang berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, anak keduanya itu dihantar ke pusat asuhan terbabit sejak lebih sebulan lalu dan tidak menyangka kejadian sedih itu akan menimpa mereka sekeluarga.

“Isteri memberitahu dia menerima panggilan telefon daripada petugas pusat asuhan itu jam 2 petang dan memintanya ke sebuah poliklinik di Taman Pertama.

“Sebaik tiba, anak saya disahkan sudah meninggal dunia sebelum dihantar ke HKL untuk bedah siasat,” katanya.

Mohd Faizal berkata, beliau belum memikirkan sebarang tindakan lanjut kerana masih menunggu keputusan penuh bedah siasat selain mahu menguruskan urusan pengebumian jenazah anaknya terlebih dulu yang dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU5, Lembah Keramat hari ini.

Datuk kepada Harris, Abdul Aziz, 51, berkata beliau terkejut sebaik mendapat tahu cucu lelakinya yang baru dua minggu ditempatkan di pusat asuhan berkenaan meninggal dunia kerana dikatakan tersedak susu.

“Saya dimaklumkan yang cucu meninggal kerana tersedak susu, tetapi masih menunggu hasil siasatan polis bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan laporan perubatan bagi mengenalpasti punca kematian.

sumber : Berita Harian Online

ps : sedihnya bila baca berita mengenai kematian baby akibat tersedak susu kat pusat asuhan ni..dah la dua orang sekali gus..mcm mana la perasaan kedua ibu-bapa baby tersebut..kecuaian di pusat asuhan perlu diambil tindakan yang serius..

 897 jumlah dibaca,  1 dibaca hari ini

Jom Kongsi!
About Ibu Mifzal 1507 Articles
Seorang isteri, ibu berkerjaya & blogger separuh masa. Graduan UUM. Blogging sebagai hobi dan amat meminati k-drama dan Modern Talking.

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*