Gerhana Bulan Hari Ini : Panduan Solat Sunat Gerhana Bulan / Matahari

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Gerhana Bulan

Umat Islam disaran solat sunat gerhana hari ini

PUTRAJAYA: Umat Islam disaran menunaikan solat sunat gerhana bulan berjemaah dan adakan khutbah gerhana hari ini berikutan fenomena gerhana bulan separa yang dijangka bermula pada jam 4.49 petang ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, berkata fasa pertama gerhana bulan bermula jam 4.49 petang itu dijangka mencapai tahap kemuncak pada jam 7.03 malam dan dijangka berakhir pada jam 9.17 malam.

“Sehubungan itu, JAKIM meminta semua masjid dan surau mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan sempena tanda kebesaran Allah ini. JAKIM akan menganjurkan solat sunat ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan di ibu negara selepas solat Maghrib. – Datuk Othman Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)“

JAKIM akan menganjurkan solat sunat ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan di ibu negara selepas solat Maghrib.“

Selain itu, Seksyen Falak Jakim dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia akan mengadakan aktiviti cerapan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini.

“Orang ramai, terutama penduduk Putrajaya dijemput menyaksikan fenomena alam semula jadi dan bersama menunaikan solat sunat ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) turut menyediakan beberapa teleskop untuk orang awam menyaksikan gerhana bulan separa di Planetarium Negara di ibu negara. Berdasarkan maklumat di laman web Angkasa, program itu akan berlangsung dari jam 8 malam hingga 10 malam ini dan masuk adalah percuma.

Sumber : Berita Harian Online

PANDUAN SOLAT SUNAT GERHANA BULAN/MATAHARI

HUKUM SOLAT GERHANA

Sunat Muakkad

CARA-CARA SOLAT

Dua (2) rakaat seperti sembahyang sunat yang lain. Cuma bezanya sebagaimana yang masyhur ia mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali qiam di dalam satu rakaat. Ianya sunat ditunaikan secara berjemaah di Masjid/Surau dan boleh juga secara bersendirian.

CARA-CARA PELAKSANAANNYA

Solat gerhana matahari dan bulan ini boleh dilakukan dengan 3 cara :

Bagi gerhana matahari, bacaan dalam solat dibaca dengan diperlahankan suara ; adapun bagi gerhana bulan bacaan hendaklah dibaca dengan diangkat suara seperti mana-mana solat malam.

Cara Pertama : Cara yang paling ringkas. Iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua
rakaat sepertimana solat sunat zuhur atau mana-mana solat sunat.

Cara Kedua : Hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua ruku’ pada tiap-tiap satu rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap qiam itu.

Bagi kita di Malaysia ini, cara yang kedua inilah yang paling mudah dilaksanakan. Selepas takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana surah yang mampu). Kemudian ruku’ dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian ruku’ semula (dipanggil ruku’ kedua). Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang kedua.

Cara Ketiga : Cara yang paling sempurna. Caranya adalah seperti juga yang kedua akan tetapi dalam rakaat yang pertama dan qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Baqarah ataupun mana-mana surah yang sama panjang dengannya. Di dalam rakaat yang pertama juga tetapi qiam yang kedua dibaca surah ali-Imran. Dalam rakaat yang kedua qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Nisa’, dan dalam qiam yang kedua pada rakaat kedua dibaca surah al-Maaidah. Kemudian hendaklah bertasbih dalam ruku’ yang pertama dengan kadar bacaan 100 ayat, dalam ruku’ yang kedua 80 ayat, ruku’ ketiga 70 ayat dan ruku’ yang keempat 50 ayat.

WAKTUNYA

Waktu bagi solat gerhana matahari dan bulan ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana sehinggalah selesai.

TEMPAT SOLAT

Solat gerhana sunat dilakukan di masjid atau surau atau mana-mana tempat yang biasa dilakukan solat berjemaah.

ATURAN SOLAT GERHANA

1. Disunatkan mandi sebelum solat.
2. Bilal Menyeru :” Assolatul Jaamiah “
3. Berdiri lurus mengadap kiblat.
4. Berniat mengerjakan solat gerhana.
(1) Lafaz niat untuk gerhana bulan
“Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat makmum kerana Allah
Ta’ala”.
(2) Lafaz niat untuk gerhana matahari
“Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat makmum kerana Allah
Ta’ala”.
5. Takbiratul Ihram. Doa Iftitah, Bacaan Al-Fatihah dan Surah.
6. Ruku’ serta tasbihnya dan qiam semula.
7. Baca al-Fatihah dan Surah.
8. Ruku’, I’tidal kemudian sujud 2 kali (seperti biasa).
9. Kemudian qiam semula untuk mengerjakan rakaat kedua.
10. Baca al-Fatihah dan Surah.
11. Ruku’ berserta tasbihnya dan qiam semula.
12. Baca al-Fatihah lagi dan Surah.
13. Kemudian ruku’ I’tidal dan sujud 2 kali, baca tasyahhud akhir dan salam.
14. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah (seperti
khutbah Hari Raya).

INGATAN :

1. Makmum yang tertinggal ruku’ yang pertama samada dalam rakaat pertama atau
rakaat kedua, adalah dikira tidak mendapat rakaat itu dan dia hendaklah
menyempurnakan rakaat yang luput itu selepas Imam memberi salam.

2. Maklumat lanjut sila ruju’ kitab Sabilal Muhtadin, karangan Sheikh Mohd Arshad bin
Abdullah Al-Banjari, (Juz. 2 Hal. 58-60).

3. Sembahyang sunat gerhana matahari, segala bacaannya dilakukan dengan suara
perlahan, manakala bagi sembahyang sunat gerhana bulan, segala bacaannya
dilakukan dengan suara yang nyaring.

Sumber : Jabatan Agama Hal Ehwal Agama Terengganu

Posted from My Samsung Galaxy Note

 1,480 jumlah dibaca,  1 dibaca hari ini

Jom Kongsi!
About Ibu Mifzal 1507 Articles
Seorang isteri, ibu berkerjaya & blogger separuh masa. Graduan UUM. Blogging sebagai hobi dan amat meminati k-drama dan Modern Talking.

6 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*